KUCHING, 2 Nov: Penubuhan Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) sebagai platform untuk meningkatkan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bakal merangsang pembangunan sosioekonomi Sarawak.
Tegas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, inisiatif SRDC akan menjadi penyelarasan aktiviti penyelidikan, memudahkan dan menarik kerjasama antara institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau SRDC bakal mengukuhkan inovasi dan pembangunan bakat yang ada di Sarawak seiring aspirasi yang dinyatakan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) agar dapat dicapai.
“Penting untuk kita mengukuhkan landskap penyelidikan dengan memudahkan program R&D di Sarawak dan di peringkat global, melalui kerjasama penyelidikan dari pelbagai agensi, institusi dan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC 2022, di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, Sarawak perlu mewujudkan pertumbuhan taraf R&D yang mampan dan berdaya saing dengan lebih cepat.
“Saya mengharapkan bantuan dan idea anda semua dalam menuju ke arah merealisasikan aspirasi yang ditetapkan dalam PCDS 2030,” katanya. – TVS