KOTA SAMARAHAN, 1 Nov: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bukan sekadar tempat melanjutkan pengajian tinggi, tetapi turut memainkan peranan menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan Sarawak, antaranya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata ia dilaksanakan melalui langkah-langkah pemerkasaan yang merangkumi aspek pendigitalan penyampaian dan penggunaan teknologi.
“Antara langkah-langkah pemerkasaan yang telah dilakukan oleh UNIMAS adalah merangkumi aspek pendigitalan penyampaian dan penggunaan teknologi terkini bagi memastikan pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas,” katanya berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-26 di sini pada Isnin.
Di samping itu, UNIMAS terus mengorak langkah bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk memberikan khidmat bakti dari segi kepakaran, idea serta dalam bidang penyelidikan.
Tambah beliau, penubuhan Hab Teknologi UNIMAS (UNIMAS InnoTech Hub) adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan memajukan keupayaan penyelidikan dan pembangunan Sarawak.
“UNIMAS InnoTech Hub berperanan menjadi pusat penyelidikan dan industri dalam meneroka potensi produk penyelidikan Sarawak ke arah pengkomersialan,” ujarnya.
PCDS 2030 dilancarkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 22 Julai yang lepas.
Pelan tersebut menggariskan tujuh strategik yang akan mempercepatkan pembangunan ekonomi Sarawak.
Antaranya ialah mentransformasi ekonomi Sarawak kepada lebih berdaya saing dengan meningkatkan produktiviti, membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran bernilai tinggi serta mewujudkan industri baharu dengan pembabitan sektor swasta. – TVS