KUALA LUMPUR, 1 Nov: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan kertas penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, boleh dikemukakan dari 9 sehingga 10 pagi, Sabtu ini.
Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak berkata kertas penamaan calon itu perlu dikemukakan kepada Pegawai Pengurus di 222 pusat penamaan calon (PPC) yang telah ditetapkan.
Beliau berkata kertas penamaan calon mestilah dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.
“Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, sebelum hari penamaan calon,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikmalrudin turut menyarankan supaya bakal calon pilihan raya tersebut membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran berkenaan perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.
Calon juga diingatkan untuk membawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
‘’Pada hari penamaan calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC dan orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan,’’ katanya.
Beliau berkata penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan, adalah tidak dibenarkan kerana merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Menurutnya, SPR menyeru kepada semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.
SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRU-15 Sabtu ini (5 Nov), hari pengundian (19 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov. -TVS