Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan kursus ejen pengundian dan pengiraan undi bagi kerusi Parlimen Betong di Spaoh, hari ini. Foto Pejabat Timbalan Premier Sarawak

Uggah seru usah percaya tohmahan terhadap calon pilihan raya GPS

KUCHING, 31 Okt : Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjangka akan muncul pembohongan, tuduhan dan hasutan terhadap calon-calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru, beliau menyeru agar rakyat tidak percaya dengan pelbagai tohmahan kerana ia disebarkan untuk memecah-belahkan dan mengganggu keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, ia juga bertujuan mengalihkan sokongan mereka terhadap GPS dan mempengaruhi agar mengundi pembangkang, katanya menerusi kenyataan media yang diedarkan pejabatnya hari ini.

Sekiranya majoriti rakyat menyokong pembangkang, beliau khuatir pelaksanaan projek dan program pembangunan akan terjejas.

Dalam pada itu, Uggah mengajak pengundi kawasan Parlimen Betong agar menyokong sesiapa sahaja yang akan menjadi calon GPS.

“Mari kita sekali lagi menjadikan kawasan Parlimen Betong sebagai kubu kuat GPS. Marilah kita semua bekerja keras, bekerja dengan bijak dan berfikir dengan bijak dalam membuat pilihan.

“Marilah kita menunjukkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan GPS kerana melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap dan ADUN Saribas Mohd Razi Sitam sebagai timbalan menteri selepas pilihan raya negeri tahun lepas,” ujarnya.

Malah, penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) merupakan antara sebab lain mengapa harus memilih calon GPS. Ia ditubuhkan bagi mempercepatkan pelaksanaan pembangunan.

Uggah berkata beliau yakin calon-calon GPS akan menunjukkan prestasi baik menerusi PRU-15 kerana pengundi telah membuktikan bahawa mereka menyokong kerajaan GPS pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 pada Disember tahun lepas.

Terdahulu, Uggah merasmikan kursus ejen pengundian dan pengiraan undi bagi kerusi Parlimen Betong.

Kursus itu dikendalikan bekas Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sarawak Datu Takun Sunggah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan bekas Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan