KUCHING, 31 Okt : Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dirangka Kerajaan Sarawak merupakan langkah ke arah menyediakan Sarawak yang lebih maju untuk generasi masa baharu.
Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata PCDS 2030 yang bertujuan meningkatkan ekonomi Sarawak dari RM136 bilion kepada RM282 bilion menjelang 2030 dirangka agar lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan.
“PCDS 2030 inilah masa depan kita terutama sekali anak-anak muda, mereka bakal mewarisi apa yang telah kita sediakan untuk mereka.
“Impak dari PCDS 2030 akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Sarawak dan akan mewujudkan lebih banyak industri,“ katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Malaysia Decides terbitan TVS di sini, hari ini.
Sementara itu, menyentuh tentang golongan belia, Fazzruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patingggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa mendengar dan menunaikan kemahuan golongan berkenaan.
Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dalam memenuhi aspirasi golongan belia terutama dalam aspek peluang pekerjaan, pendidikan dan capaian Internet.
“Kita mendengar apa kemahuan belia yang mana Premier (Sarawak) kita telah pergi ke seluruh Sarawak melalui program dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan berjumpa dengan belia-belia untuk mendengar apa yang mereka mahukan.
“Maklum balas kita terima adalah mengenai peluang pendidikan, pekerjaan, dana untuk mereka berniaga, dan juga mereka mahukan liputan internet di semua tempat yang mereka pergi.
“Oleh itu Premier telah merangka polisi-polisi mengenai apa yang diinginkan oleh mereka,“ katanya – TVS