KOTA SAMARAHAN, 31 Okt : Meskipun belajar sambil bekerja, semangat juang dua wanita kakitangan Sarawak Media Group (SMG) ini amat tinggi apabila berjaya menempuh pelbagai cabaran dan akhirnya hari ini, mereka tersenyum bangga menerima skrol Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Korporat.
Mereka merupakan antara graduan pasca siswazah, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menerima ijazah masing-masing pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-26 di sini.
Madiana Roland Nawe Salas, 44, dan Sylvia Liao Hui Chin, 28, masing-masing merupakan penyelidik perniagaan dan pegawai perolehan di syarikat yang menaungi TVS.
Berkongsi kisah ketika melanjutkan pengajian, Madiana berkata adalah penting untuk mengaplikasikan setiap yang dipelajari dalam melaksanakan tanggungjawab harian di SMG.
Ini kerana katanya, ia bukan sekadar teori tetapi perlu terus dipraktikkan.
“Program pengajian ini sebenarnya sangat bagus kerana ia dapat diaplikasikan di tempat kerja kerana jika berkenaan pengurusan, ia bukan hanya teori.
“Ia penting terutamanya bagi mereka yang bekerja sebagai seorang pengurus di sesebuah syarikat. Lebih-lebih lagi apabila kita perlu berjumpa dengan klien,” katanya ketika ditemui TVS pada majlis konvokesyen di sini, hari ini.
Turut berkongsi bagaimana ilmu yang diperolehinya dapat diaplikasikan dalam pekerjaan harian, Sylvia berkata, kerja berpasukan adalah elemen utama diperlukan terutama apabila berdepan tugasan penting.
“Semangat kerja berkumpulan adalah penting terutamanya apabila anda mempunyai tugasan penting yang perlu diselesaikan. Pengetahuan yang saya pelajari dalam pengurusan perniagaan juga penting. Jadi, setiap yang dipelajari dapat diterapkan dengan baik dalam kerjaya saya,” ujarnya.
Sementara itu, bercakap berkenaan cabaran dihadapi sewaktu menimba ilmu, kedua-dua mereka akui perlu membiasakan diri dengan mengikuti kuliah dan tutorial secara dalam talian.
“Cabaran rasanya saya pernah terkena jangkitan COVID-19 iaitu pada ketika saya perlu mengikuti kelas secara atas talian. Selepas sembuh pula, saya perlu menduduki peperiksaan.
“Jadi, ia amat mencabar, tetapi Alhamdulillah jangkitan COVID-19 saya tidak terlalu teruk dan saya masih boleh belajar. Cuma, diakui agak sukar untuk saya menumpukan perhatian. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja dan syukur saya dapat bergraduasi,” kata Madiana.
Jelas Slyvia, mempunyai anak kecil berusia tiga tahun juga menjadi cabaran ketika belajar di rumah dan penting untuknya menguruskan masa dengan lebih baik.
“Cabaran lainnya adalah kerana saya mempunyai keluarga. Saya mempunyai seorang anak kecil yang kini berumur tiga tahun. Kelas yang dijalankan pada hujung minggu sebenarnya mencabar kerana saya perlu mengimbangi masa bukan sahaja untuk bekerja dan belajar malah juga untuk keluarga.
“Kadang-kadang anak menemani saya untuk menghadiri kelas pada hujung minggu. Apa yang saya lakukan, saya tutup kamera saya dan kemudian dia duduk dan mendengar bersama saya,” ujarnya. – TVS