KUNAK, 31 Okt : Seramai 62 orang penduduk daripada 13 keluarga di Kampung Airport, Tun Fuad dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata, kesemua mangsa banjir itu dipindahkan ke PPS Dewan Kg. Airport Tun Fuad.
Menurutnya, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 18 lelaki dewasa, 26 wanita dewasa dan masing-masing 11 kanak-kanak perempuan serta tujuh orang kanak-kanak lelaki.
“Kita menerima panggilan pada jam 3 pagi dan setiba di lokasi kejadian kita menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan bot orang kampung dan bot Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika dihubungi TVS.
Jelasnya, kesemua mangsa telah didaftarkan dan segala urusan berkaitan kebajikan mangsa kini di bawah kendalian Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.-TVS