KUCHING, 30 Okt : Langkah memodenkan cara memproses nira apong mustahak bagi menjaga kualiti dan kebersihan produk yang dihasilkan terutamanya oleh usahawan desa.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Rasli Muslimen berkata, kaedah tradisional yang menggunakan dapur kayu akan menyukarkan prosedur pensijilan halal kerana kurang bersih dan selamat.
Katanya, ketika ini Kumpulan Penyelidikan Apong (ARG) UNIMAS telah membangunkan dan mempatenkan dapur masak moden untuk memproses nira apong mentah.
“Sekiranya masih menggunakan dapur kayu memang tidak akan melepasi standard makanan yang ditetapkan untuk mendapat sijil halal.
“Oleh itu, kami mengkaji dapur moden kerana setakat ini belum dijual di pasaran,” katanya semasa ditemu bual dalam rancangan Malaysia Decides terbitan TVS hari ini.
Menurut Rasli, cabaran utama yang dihadapi pihaknya adalah untuk mengubah persepsi usahawan desa yang menceburi sektor gula apong terhadap proses pemodenan.
Ini kerana wujudnya kegusaran berkaitan kualiti dan rasa asli gula apong yang bakal dihasilkan dengan dapur moden akan berubah.
“Namun setelah memberi mereka menilai rasa gula apong yang dimasak daripada dua dapur berbeza, maklum balas yang diterima ialah rasanya lebih kurang,” katanya.
Gula apong disifatkan sebagai produk yang ‘versatile’ kerana dapat diadunkan ke dalam pelbagai produk hiliran seperti coklat, cuka, ais krim dan madu.
Sarawak telah mengeksport produk gula apong bernilai RM1.93 juta pada 2021 dan menjana pendapatan sebanyak RM3.38 juta untuk jualan di pasaran tempatan. -TVS