KUCHING, 30 Okt : Jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia untuk menyanggah tohmahan dilemparkan pihak tertentu kepada gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, selain itu ahlinya juga akan menerangkan maklumat tepat berhubung inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah GPS.
“Sehubungan itu, kita (Wanita GPS) hendaklah meningkatkan kualiti perkhidmatan kerana rakyat mengharapkan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi pembela nasib bangsa dan seterusnya membawa Sarawak ke laluan gemilang menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS – PRU-15 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Abang Johari.
Sementara itu, Fatimah berkata, Wanita GPS juga perlu peka untuk menepis tindakan pihak tertentu yang mahu menafikan perkhidmatan cemerlang diberikan mereka kepada rakyat Sarawak.
“Selain itu Wanita GPS juga perlu bersedia untuk menepis fitnah, berita palsu, tohmahan dan penafian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya. -TVS