KUCHING, 30 Okt: Kerajaan Sarawak perlu melaksanakan teknologi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas bandar-bandar di Sarawak.
Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof mencadangkan Kerajaan Sarawak agar melaksanakan sistem tersebut di kawasan bandar dalam negeri ini seperti Kuching, Sibu dan Miri.
“Untuk pelaksanaan tersebut, mungkin boleh bermula dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan.
“Mereka boleh duduk bersama-sama membincangkan mengenai usaha melaksanakan ITS terutamanya bagi menempatkan pusat kawalan untuk sistem tersebut.
“Dunia sekarang semakin maju dan kita perlu bersedia menghadapi perubahan. Oleh itu, autonomi kenderaan diperlukan, jika tidak bersedia maka kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Transformasi Koperkasa ke Arah Visi 2030 di Hotel Waterfront di sini, semalam.
Fadillah menjelaskan sistem terbabit memerlukan pusat kawalan untuk memantau pergerakan trafik selain memerlukan kamera pengesan.
Melalui sistem tersebut, mereka dapat membuat analisis dan mengkaji keadaan trafik sekali gus memaklumkan kepada pengguna jalan raya. -TVS