KUCHING, 30 Okt: Kemunculan penyanyi terkenal Indonesia, Afgan pada Konsert Kuching Jazz 2022 di Tebingan Sungai Kuching malam tadi berjaya memukau lebih 2,000 pengunjung.
Penyanyi berusia 33 tahun itu yang menjadi artis terakhir membuat persembahan, diberikan slot hampir sejam untuk menghiburkan peminatnya.
Pemenang trofi Anugerah Planet Muzik (APM) itu menyampaikan hampir 10 buah lagu popularnya.
Sorakan bergema apabila lagu Terima Kasih Cinta dan Percayalah yang cukup popular di negara ini dipersembahkan malah penyanyi itu turut bijak berkomunikasi dengan penonton.
“Terima kasih Sarawak di atas sambutan luar biasa ini dan menghayati muzik dan lagu yang dibawa oleh saya,” katanya.
Sebelum Afgan muncul, konsert hari kedua dimulakan dengan nyanyian daripada artis tempatan Sarawak, Ky Den.
Turut tampil ialah penyanyi jazz Malaysia iaitu Ushera dan Leon Sapphire.
Dawn Wong & The Ark Royal dari Singapura turut dijemput memeriahkan Kuching Jazz 2022.
Turut hadir menyaksikan persembahan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. -TVS.