KUCHING, 29 Okt : Eksport agrikomoditi lada Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 46 peratus, bersamaan RM125 juta berbanding RM85.5 juta pada 2021.
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, prestasi itu dicatatkan sehingga Ogos lepas.
Katanya, antara destinasi utama bagi eksport lada Malaysia adalah Jepun, Vietnam, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan.
“Peningkatan ini juga telah memberi kesan positif kepada purata harga pasaran lada yang seterusnya akan memberi faedah yang besar kepada pekebun lada di negara ini.
“Para pekebun kini boleh senyum lebar kerana harga jualan lada hitam di pasaran adalah sebanyak RM15,893 per tan metrik pada September 2022 berbanding RM14,035 per tan metrik pada tahun lepas.
“Tidak ketinggalan, para pekebun lada putih juga menjana keuntungan luar biasa berikutan kenaikan purata harga lada putih kini mencecah RM25,228 per tan metrik pada September 2022 berbanding RM22,626 dan RM14,158 per tan metrik pada tahun 2021 dan 2020,” katanya.
Willie berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Lada 2022 yang diadakan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB), Baharuddin Dato Mokhsen berkata, industri lada Malaysia tidak ketinggalan mengaplikasikan teknologi terkini dalam penanaman dan pemasaran komoditi itu.
“Kita telah membangunkan beberapa aplikasi mudah alih bagi mentransformasikan perkhidmatan pendigitalan agrikomoditi lada.
“Antara aplikasi digital yang telah digunakan ialah DR LADA yang dapat mengenal pasti penyakit dan serangga perosak lada dan mengesyorkan rawatan yang sewajarnya.
“NutriLada pula merupakan aplikasi yang memberi maklumat berkaitan nutrisi lada dan membantu penanam mengenalpasti masalah berkaitan nutrisi lada,”katanya. -TVS