Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pengundi 45 ke bawah bakal jadi penentu

BySuara Sarawak

KUCHING, 29 Okt : Pengundi berumur 45 tahun ke bawah dijangka menjadi penentu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), berbanding pengundi berusia 18 hingga 25 tahun.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia kerana ramai golongan pengundi berusia 45 tahun ke bawah yang menjadi pengundi baharu, ekoran pendaftaran automatik pengundi susulan pelaksanaan Undi18.

“Memang kita tidak menafikan umur 18 ini penting tetapi apa yang berlaku dalam pendaftaran ialah ramai yang berumur antara 21 hingga 45 tahun dulu tidak mendaftar sebagai pengundi atau disebutkan tiada minat.

“Jadi lonjakan yang banyak ini adalah disebabkan pendaftaran automatik. Kalau kita tengok pada peratusan, umur 18 hingga 21 ada tapi tidaklah begitu banyak kalau bandingkan dalam jumlah pengundi baharu.

“Sebab itu kita nampak umur 45 ke bawah memang menjadi pengundi utama dan saya rasakan bahawa yang berumur 18 hingga 25 tahun ini, mereka turut memainkan peranan, tetapi mungkin dari sudut perkiraan untuk membuat keputusan dan mengikut sentimen tapi yang lainnya (pengundi berusia 45 tahun ke bawah) akan lebih rasional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Suara Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Baca artikel berkaitan > > > Calon GPS diumum 3 November – Abang Johari

Bagaimanapun Abang Johari berkata, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinannya memberi kesan kepada golongan muda.

Beliau berkata, antaranya Dana Berdaulat yang akan dibentangkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

“Ini adalah untuk mereka (golongan muda) kerana pengumpulan dana ini dalam masa 20 tahun akan meningkat dan memberi pulangan kepada Sarawak.

“Dari sudut pulangan ini akan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi masa depan dan seterusnya membantu orang muda kerana dalam peruntukan ini termasuklah dana yang terkumpul dan dana wakaf.

“Ini akan membolehkan kita untuk memberi bantuan dari sudut pendidikan ke peringkat universiti. Siapa yang dapat menikmatinya ialah golongan muda,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak juga komited dalam melaksanakan dasar ke arah ekonomi baharu yang yang berteraskan kepada teknologi, bagi menghasilkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

Katanya dengan itu, anak Sarawak khususnya yang berpendidikan tinggi boleh bekerja dan mendapat pendapatan yang tinggi.

“Kesan daripada dasar ini kalau dilaksanakan akan dinikmati golongan muda.

“Kalau sudah umur 55, 60 tahun itu sudah pencen tapi yang berumur 30 hingga 45, ini masanya kerana sekarang ini kita buat kajian, disebabkan oleh ekonomi kita secara tradisi, maka banyak anak kita bekerja di luar sebab tidak ada pekerjaan yang seimbang dengan latihan.

“Sebab itu Kerajaan Negeri kalau dibantu Kerajaan Persekutuan, kita wujudkan ekonomi yang agak tinggi menggunakan kepakaran dan kemahiran tertentu dan mereka ini boleh bekerja balik ke Sarawak,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan