KUCHING, 29 Okt : Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) digesa untuk menguatkan lagi jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miro Simuh berkata, ini bagi memastikan mereka memberikan kemenangan besar kepada GPS.
“Jadi pastikan kesiapsiagaan kita melibatkan aspek jentera dan pergerakan aktif sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen, pemuda perlu turun padang,”katanya.
Miro berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Perpaduan Negeri di sini, hari ini.
Jentera Pemuda GPS dilancarkan oleh Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis pelancaran menyaksikan kehadiran lebih 2,000 pemuda bagi menunjukkan sokongan kuat kepada GPS.
GPS terdiri daripada gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Sementara itu, Miro meminta agar barisan pemuda menjadikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tahun lepas sebagai motivasi untuk memastikan kestabilan terus dinikmati di Sarawak dan seterusnya di Malaysia.
“Kejayaan memenangi 76 kerusi menjadi manifestasi penting bahawa pada PRU-15 ini, kita pasti menang besar lagi.
“Menurut sasaran Pengerusi, daripada 31 kerusi yang kita bertanding, GPS mampu menang 26 kerusi atau mungkin 31 kerusi,” jelasnya. – TVS