KUANTAN, 29 Okt: Kerajaan yang stabil dan kuat dapat mengelakkan pergolakan dalam pentadbiran yang boleh mengganggu tumpuan terhadap isu penting seperti memulihkan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata pergolakan yang berlaku jika kerajaan tidak memperoleh banyak kerusi pada pilihan raya menyebabkan Perdana Menteri atau Menteri Besar perlu memberi tumpuan kepada isu politik sebelum dapat melakukan perkara untuk kepentingan rakyat.
Perdana Menteri berkata sebagai contoh, Kerajaan Negeri Pahang yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat stabil dan berupaya membawa pelbagai kejayaan termasuk hasil melebihi RM1 bilion.
“Pada awal pentadbiran saya, kita dapat mengawal politik supaya lebih stabil tetapi akhir-akhir ini, sebelum saya membubarkan Parlimen, kerajaan agak tidak stabil dan pelbagai serangan berlaku bukan hanya dari luar tetapi presiden parti yang bergabung dengan kerajaan juga menyerang saya,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap di Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini yang turut dihadiri Wan Rosdy dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. – TVS