KUCHING, 29 Okt : Penyanyi terkenal Indonesia, Afgansyah Reza atau lebih dikenali sebagai Afgan berkongsi keterujaannya dapat kembali ke Bumi Kenyalang selepas enam tahun.
Penyanyi berusia 33 tahun itu berkata, memori ketika berada di Kuching pada 2016 masih tersemat dalam ingatannya.
“Kali terakhir saya di sini, peminat memberikan sambutan hangat namun saya tidak berkesempatan melawat banyak tempat menarik.
“Apa yang saya ingat, bandar raya ini mempunyai keindahan tersendiri,”katanya pada sesi bertemu media di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Hii Chang Kee dan Penasihat Kuching Jazz Festival, Gracie Geikie.
Afgan kembali ke Kuching untuk membuat persembahan pada konsert malam kedua Kuching Jazz 2022 di Tebingan Kuching malam ini.
Penyanyi yang pernah meraih tiga pengiktirafan pada Anugerah Planet Muzik itu berkata, dia akan membawa kelainan dalam persembahannya pada malam ini.
“Pada persembahan lepas, saya tidak berpeluang untuk membawa kugiran saya, namun kali ini, mereka turut datang mengiringi persembahan saya selama lebih sejam,” katanya.
Sementara itu, Afgan memberitahu, dia turut mahu mencuba Laksa Sarawak pada kunjungan kali ini.
Malam ini Afgan akan mendendangkan 10 lagu termasuklah Percayalah, Terima Kasih Cinta dan lagu-lagu dari EP terbarunya.
Pintu dibuka seawal pukul 5 petang dan persembahan bermula pada pukul 7 malam. – TVS