SIBU, 29 Okt : Seramai 16 pekerja kilang hilang tempat berteduh selepas asrama mereka di Jalan Sungai Bidut, musnah dalam kebakaran petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB II), Abdul Mutalif Ja’afar berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengarahkan jentera dan anggota dari BBP Sungai Merah dan BBP Sibu ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.53 petang
Katanya, kebakaran melibatkan rumah pekerja 15 pintu struktur tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Pasukan operasi menggunakan satu aliran 400 kaki dua nozel menggunakan air sungai bagi mengawal dan memadamkan kebakaran
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.38 petang.
“Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu kerana kesemua penghuni termasuk seorang wanita berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak forensik Bomba Zon 4 Sibu. -TVS