KUCHING, 28 Okt : Dua peserta, Suili George, 35, dan Mady Spuan, 32, mencipta kejayaan manis apabila terpilih untuk ke pusingan separuh akhir pada konsert Getaran Jiwa minggu kedua yang bersiaran secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa pada Jumaat malam.
“Suili (dari Sabah) meraih kutipan 53.7 markah manakala Mady (Sarawak) pula mendapat 49.8 markah,” ujar Aizal Ibrahim, Pengurus Saluran TVS pada program tersebut.
Sementara itu, enam peserta yang kurang bernasib baik ialah Shazlan (40.5 markah), Jamliah Pesan (28.5 markah), Tcy Agnes (33.8 markah), Irwan (41 markah), Shamshul (26.2 markah), dan Rina Ramlee (48.7 markah).
Dihoskan oleh Sissy Imann dan Jiggy, program terbitan TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak ini bersiaran langsung selama 1 jam 30 minit bermula 8.45 malam. Sebelum itu, pada jam 7.30 malam, kapsul Debaran Jiwa turut disiarkan menampilkan barisan personaliti TVS, Fattahbolh dan Siti Zawawi.
Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70% oleh barisan juri profesional dan 30% oleh juri awam yang mengundi di atas talian menggunakan ‘Meter Jiwa’.
Persembahan peserta minggu ini dinilai oleh Dato Nash selaku Ketua Juri serta Norafizah Busman sebagai Juri Tetap dan Ayai Ilusi selaku juri jemputan.
Diinspirasikan oleh karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma, program 8 episod ini menampilkan lapan peserta berbeza untuk episod 1 hingga 5.
Secara keseluruhannya, 40 peserta yang terpilih melalui pencarian bakat seluruh negara akan bertanding dalam program ini. Getaran Jiwa menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.
Selain ditayangkan langsung di saluran 122 Astro dan MYTV, orang awam turut berpeluang menonton konsert mingguan Getaran Jiwa di Stadium MBKS. Ikuti laman media sosial Getaran Jiwa (https://linktr.ee/getaranjiwa) untuk maklumat lanjut. -TVS