KUCHING, 28 Okt : Penganjuran Sarawak Kitchen dan Gerai Jualan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sempena Program Sarawak Regatta – Kuching Waterfront 2022 berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung luar ke Bumi Kenyalang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ianya juga dapat menjadi platform untuk mempromosikan serta menonjolkan kepelbagaian juadah di negeri ini.
“Terdapat pelbagai jenis makanan tradisi, moden dan minuman dijual.
“Penganjuran Sarawak Kitchen sempena acara ini sangat tepat kerana ramai pengunjung luar yang datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Sarawak Kitchen dan Gerai Jualan PKS di Tebingan Sungai Kuching, hari ini.
Yang turut hadir, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datuk Mohd Naroden Majais.
Terdapat 32 gerai makanan dan minuman dibuka manakala 20 gerai lagi menjual pelbagai produk PKS.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, penganjuran Sarawak Kitchen juga akan menggalakkan lagi para usahawan untuk terlibat dalam perniagaan.
Katanya ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dilancarkan oleh Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan rakyat menerusi peluang perniagaan dan pekerjaan pada masa hadapan. -TVS