Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian ‘Farm Out’ Petronas dengan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP). Foto Petronas.

Petronas dan Petros perluas kerjasama percepat Pelan Hala Tuju Gas Sarawak

KUCHING, 28 Okt : Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menandatangani dua perjanjian penting dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk bekerjasama di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) yang akan mempercepatkan usaha untuk mengembangkan industri tenaga secara mampan.

Menerusi kenyataan media, Petronas berkata, perjanjian pertama adalah untuk memperluaskan penggunaan gas asli di Sarawak dengan membekalkan sebanyak 60 juta kaki padu standard bermula 2026 kepada stesen jana kuasa turbin gas kitaran gabungan di Miri.

“Ini susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Disember 2021 berkaitan dengan jumlah bekalan gas asli yang disemak untuk Sarawak bagi pelaksanaan projek di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak,” jelas Petronas hari ini.

Sehubungan dengan itu, syarikat petroleum negara itu menjelaskan mereka akan membangunkan sumber gas baharu serta infrastruktur luar pesisir dan darat yang berkaitan dan ini menandakan bermulanya pembangunan Hab Miri seperti yang digariskan dalam pelan berkenaan.

“Seterusnya, kedua-dua entiti ini akan bekerjasama untuk mewujudkan penyimpanan karbon (CCS) sebagai peluang perniagaan yang baharu dan seterusnya mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab penyerapan serantau serta memupuk penyertaan Sarawak dan pembangunan bakat tempatan.

“Satu perjanjian kerjasama telah dimeterai bagi memudahkan pengawasan dan pembangunan penangkapan dan penyimpanan karbon serta operasinya di Sarawak ke arah masa depan rendah karbon,” jelas kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, Petronas sebagai rakan sekutu Sarawak akan terus memainkan peranan penting dalam membangunkan industri minyak dan gas yang mampan melalui projek bertaraf dunia seperti pembangunan Gas Kasawari yang merangkumi teknologi penyerapan karbon.

“Pada masa yang sama, kami akan terus menarik pelaburan baharu ke dalam sektor huluan bagi menampung permintaan gas yang semakin meningkat ,” katanya.

Sementara itu, turut dimaklumkan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Petronas menandatangani Perjanjian Farm Out dengan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP), anak syarikat milik penuh Petros bagi penjualan 45 peratus kepentingan penyertaan bukan operasi milik PCSB dalam Blok SK407 PSC. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan