KUCHING, 28 Okt : Penerbitan program realiti Getaran Jiwa oleh TVS telah ‘menghidupkan’ semula karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Penyanyi terkenal, Ayai Illusi berkata, beliau menyambut baik program ini kerana ianya merupakan pendekatan tepat untuk mendedahkan generasi baharu kepada lagu gubahan P. Ramlee.
“Sehingga sekarang lagu dan filem yang P. Ramlee hasilkan masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
“Oleh itu, apa yang dilakukan oleh TVS ini merupakan satu pendekatan yang baik untuk generasi muda mengenali lagu – lagu beliau,” katanya.
Ayai akan muncul di TVS malam ini sebagai juri undangan pada konsert minggu kedua Getaran Jiwa.
Beliu akan mengadili persembahan lapan peserta bersama dua juri tetap, Dato Nash dan Norafizah Busman.
Selain itu Ayai berkongsi rasa terujanya apabila dijemput sebagai juri jemputan bagi program ini.
Jelas vokalis yang terkenal dengan lagu Segalanya Ku Terima itu, ini kerana Tan Sri P. Ramlee merupakan idolanya sejak sekian lama.
Dalam pada itu Ayai turut menasihatkan agar peserta menyampaikan persembahan dengan penuh semangat serta gaya tersendiri namun pada masa sama, beliau memohon agar mengekalkan nilai keseniannya.
“Saya juga harap peserta memahami lirik yang ditulis dan tidak merosakkan lagu yang dicipta oleh Allahyarham,” katanya.
Konsert Getaran Jiwa akan bersiaran secara langsung dari Stadium MBKS, Bintawa dan boleh ditonton menerusi TVS saluran 122 Astro dan MYTV pada pukul 8.45 malam. -TVS