Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Calon GPS diumum 3 November – Abang Johari

BySuara Sarawak

KUCHING, 28 Okt : Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 3 November nanti.

GPS dijangka menampilkan 10 hingga 14 muka baharu.

Menurutnya, bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tunjang GPS itu akan meletakkan tiga muka baharu.

“Memang setiap kali PRU, kita akan menampilkan muka baharu dan orang muda. Tahun lepas PBB memperkenal muka baharu di (Parlimen) Tanjong Manis dan Sibuti, mereka dalam lingkungan umur muda.

“Kali ini pun demikian juga, kita akan memperkenal seorang wanita muda yang berpengalaman dan memperkenal pemimpin pelapis kita iaitu daripada Pemuda untuk menjadi calon dan juga mungkin PBB ada tiga muka baru,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata demikian dalam temu bual bersama Suara Sarawak, di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Selain itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, muka baharu akan turut ditampilkan daripada parti komponen GPS yang lain iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Sudah tentu mereka akan memperkenal muka baharu termasuk SUPP, begitu juga PRS memang akan membawa muka baharu kerana mereka telah kalah beberapa kerusi. Jadi mereka akan memperkenal calon-calon baharu dan muda, begitu juga PDP. Kalau kita jumlahkan, lebih kurang 10 hingga 14 calon baharu,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai calon SUPP, beliau berkata parti yang bertanding di enam kerusi bagi mewakili kaum Cina itu akan menampilkan tiga muka baharu.

“Daripada yang kekal, hanyalah kerusi Parlimen Serian. Selain daripada itu akan ada muka baharu ataupun mungkin seorang atau dua orang yang ada kerusi (Dewan Undangan) Negeri, tetapi pertama kali akan bertanding di peringkat Persekutuan pada PRU-15,” katanya.

Manakala mengenai kawasan kontroversi iaitu Parlimen Puncak Borneo dan Parlimen Saratok, Abang Johari berkata isu calon bagi kedua-dua kawasan itu akan selesai dalam masa tiga hari lagi.

“Hampir semua telah dimuktamadkan,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan