KUCHING, 27 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadang agar diwujudkan kerjasama penulisan bermula di peringkat pendidikan awal kanak-kanak di antara SeDidik dan Pustaka Negeri Sarawak.
Menurutnya, galakan harus bermula dari peringkat kanak-kanak untuk mendedahkan mereka mengenai topik-topik penulisan ringkas yang boleh diambil dari bidang warisan, budaya tempatan, sejarah dan lain-lain lagi.
Beliau berkata demikian kerana Sarawak masih agak jauh ketinggalan – hanya 352 tajuk bahan diterbitkan didepositkan kepada Pustaka Negeri Sarawak pada tahun ini.
“Hal ini berkemungkinan terdapat di kalangan penulis yang tidak menerbitkan hasil penulisan mereka dan tidak menyerahkannya kepada Pustaka Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibaca Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah pada Majlis Malam Gala Penulis-Penulis Sarawak 2022 di sini pada Rabu. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.
Abang Johari berkata lagi, para pemimpin, profesional di sektor perkhidmatan awam yang bersara serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya mendokumentasikan pengalaman mereka.
Jelasnya lagi, data-data diperolehi melalui hasil penyelidikan akan membuka lebih banyak ruang penyelidikan baharu di samping dapat meningkatkan jumlah penerbitan agar Sarawak selari dengan piawaian antarabangsa selaras dengan usaha mencapai status negara maju.
Negara maju menetapkan nisbah setiap sejuta penduduknya, harus menerbitkan sekurang-kurangnya 1,000 judul buku baharu setiap tahun.
“Hasrat Sarawak untuk menjadi negeri maju akan mudah dicapai sekiranya kita dapat memenuhi piawaian negara maju,” ujarnya.
Pada majlis itu, Fatimah menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan video pendek SAF2022 serta anugerah kepada penulis serta persatuan.
Norfazrie Isquandy Nurol memenangi tempat pertama peraduan video pendek SAF2022, manakala di tempat kedua milik Dayang Khairina Nazihah Abg Median, Babu’ul Salam Sabin memenangi tempat ketiga manakala Nur Fitri Lyiana Amir di tempat keempat. -TVS