SIBU, 27 Okt : Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pelawan, Clarence Ting Ing Horh berkata, beliau sedia menyahut cabaran sekiranya dipilih oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai calon bagi kerusi Parlimen Sibu.
Namun Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu berkata, beliau ‘tidak beriya -iya’ menawarkan diri selaku calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk ketika pertemuan dengan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.
“Saya terlibat dengan mesyuarat santai bersama Abang Johari semalam yang mahu bertanya tentang keadaan di Sibu.
“Dalam pertemuan itu, turut dinyatakan kepada Pengerusi GPS yang saya tidak ada keinginan untuk menjadi calon,”katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di sini hari ini.
Jelas Clarence Ting, Premier Sarawak itu mendapatkan pandangan beliau tentang keadaan di sini sahaja memandangkan tugasnya ‘menjaga’ Sibu.
Ketika ditanya sama ada bersedia jika dicalonkan pada PRU-15 di Parlimen Sibu, Clarence berkata, belia bersedia.
“Saya bekerja untuk Sibu setiap hari. Bagaimana saya tidak bersedia berbanding orang yang muncul sekali dalam tempoh lima tahun,”katanya.
Difahamkan, Presiden SUPP, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian telah menyerahkan tiga nama termasuk Clarence kepada Abang Johari untuk dipertimbangkan sebagai calon GPS bagi kerusi berkenaan.
Selain itu, dua nama lain yang turut dikaitkan sebagai bakal calon termasuklah Tony Hii (SUPP Cawangan Bawang Assan) dan Daniel Sng dari SUPP Cawangan Nangka. – TVS