KUCHING, 27 Okt : Kontinjen Para SUKMA Sarawak menyasarkan untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan temasya itu untuk kali ke-14 sejak 1994.
‘Amaran’ itu dilaungkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah selepas menerima tiupan semangat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Fatimah berkata, Sarawak yakin untuk melakar kejayaan kerana mempunyai barisan atlet berkualiti serta mampu memberi tentangan hebat pada Para SUKMA kali ini.
“Kami berazam untuk menang 64 pingat emas dan seterusnya muncul juara keseluruhan.
“Sekiranya kita meraih pingat emas yang diidamkan, insya – Allah Sarawak boleh menang selesa,” katanya.
Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Bendera Sarawak yang diserahkan oleh Abang Johari kepada Ketua Kontinjen Para Sarawak di Pejabat Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Pada majlis juga, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam dilantik sebagai Chef De Mission (CDM) Para Sarawak.
Sarawak akan diwakili seramai 134 atlet dalam 10 acara iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, boling tenpin, boling padang, boccia, catur, angkat berat dan memanah.
Para SUKMA ke-20 akan berlangsung selama tujuh hari bermula 1 hingga 6 November 2022 ini di Kuala Lumpur.
Pada 2018, Sarawak mengumpul 163 pingat keseluruhan dengan 61 emas, 62 perak dan 40 gangsa untuk muncul juara. -TVS