Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto Bernama.

Kenyataan Badan Peguam Malaysia ke atas kesaksamaan PPK tidak berasas, tidak benar -Wan Junaidi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Kenyataan dikeluarkan Badan Peguam Malaysia yang mempersoalkan kesaksamaan Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata PPK telah mempelawa Majlis Peguam untuk menyertai sesi perundingan bagi  memastikan pandangan semua pihak diambil kira dalam menyediakan laporan itu tetapi badan itu telah menolak jemputan itu.

“Justeru, melontarkan satu persepsi negatif ke atas kesaksamaan ahli PPK adalah sama sekali tidak berasas. Badan Peguam Malaysia seharusnya tampil ke hadapan dan memberikan pandangan mereka ke atas pelbagai dakwaan dikenal pasti PPK.

Keengganan menyertainya dan kemudian mempersoalkan kesaksamaan PPK dan ahlinya seharusnya tidak menjadi cara Badan Peguam Malaysia  menghadapi isu seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Badan Peguam Malaysia  Karen Cheah Yee Lynn pada 25 Okt lepas bahawa badan itu risau dengan dengan pengubahan status laporan PPK yang  tidak kena pada waktunya di tengah-tengah pembubaran Parlimen pada 7 Okt dan Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijadualkan pada 19 Nov.

Cheah juga berkata dilaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menggesa jentera pilihan raya Barisan Nasional untuk menggunakan laporan telah diubah statusnya itu yang boleh menjadi satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Wan Junaidi berkata semua dapatan diperoleh berasaskan 19 sesi konsultasi yang dilaksanakan PPK dalam kalangan pihak berkepentingan dan juga ia melihat kepada pelbagai dokumen yang disediakan pelbagai agensi berkaitan.

“Saya perlu tekankan di sini perkaedahan digunakan, isu dianalisis, pihak berkepentingan terlibat dalam sesi perundingan juga mereka yang enggan menyertainya semuanya disenaraikan dalam laporan itu. Ini jelas menunjukkan PPK telah menjalankan tugasnya dengan bertanggungjawab, telus dan secara saksama,” katanya.

Beliau berkata PPK juga menghantar cadangan untuk penambahbaikan dalam pelbagai bidang  seperti   badan kehakiman dan sistem perundangan untuk dipertimbangkan selanjutnya oleh kerajaan.

PPK ditubuhkan Kabinet pada 22 Dis tahun lepas untuk pencarian fakta dan menganalisis maklumat terhadap dakwaan Tommy Thomas dalam bukunya. Dapatan itu dilaporkan kepada Kabinet pada 30 Sept tahun ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan