KUCHING, 27 Okt : Selepas konsert minggu pertama Getaran Jiwa berlangsung meriah pada Jumaat lepas, esok malam saingan akan diteruskan oleh lapan peserta yang memburu tempat ke peringkat seterusnya.
Menariknya, kesemua yang terlibat esok merupakan peserta Borneo apabila lima dari Sarawak dan tiga dari Sabah akan menunjukkan bakat masing – masing dengan menyampaikan seleksi lagu Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Lima peserta Bumi Kenyalang Sarawak ialah TCY Agnes, Irwan, Shamsul, Rina Ramlee dan Mady Spuan.
Negeri Di Bawah Bayu pula mempertaruhkan Shazlan, Jamliah Pesan dan Suili.
Shazlan, 22, yang merupakan penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia mahu menampilkan persembahan terbaik untuk memikat hati tiga juri.
Pemuda berasal dari Tuaran itu berharap agar persembahannya juga akan memikat hati penonton di stadium dan di rumah.
“Mengenai perancangan selepas program Getaran Jiwa pula, sudah pasti saya mahu menamatkan pengajian di UPSI dengan jayanya,” katanya kepada TVS.
Bagi Mady Spuan, 32, pula, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.
Artis budaya yang berasal dari Sibu itu berkata, dia berharap persembahannya pada esok malam akan ‘menjadi’.
“Sekiranya saya dapat menyanyi dengan baik, mungkin selepas ini akan menerima lebih banyak undangan membuat persembahan,”katanya.
Sementara itu, Shamsul, seorang perancang perkahwin berkata, dia berharap agar kemunculan dalam program ini akan mengubah nasibnya.
Berusia 50 tahun, Shamsul berkata, faktor itu tidak menjadi halangan untuk menampilkan persembahan terbaik malah gembira kerana terpilih berkongsi minat dan bakatnya dengan penonton TVS.
Seorang lagi peserta, Rina Ramlee, 36, juga tidak sabar menunjukkan bakatnya.
Suri rumah itu berkata, dia berharap dapat menyampaikan lagu dengan baik.
“Rancangan saya selepas ini mahu libatkan diri dalam program televisyen atau di pentas nyanyian,”katanya yang berasal dari Kuching.
Dato Nash dan Norafizah Busman merupakan juri tetap manakala Ayai Ilusi yang terkenal dengan lagu Segalanya Ku Terima akan menjadi juri undangan pada malam esok.
Konsert minggu kedua ini akan bersiaran secara langsung bermula pukul 8.45 malam di TVS, saluran 122 Astro dan MYTV atau mereka yang ingin menyaksikan secara langsung, boleh hadir ke Stadium MBKS, Bintawa. -TVS