JAKARTA, 27 Okt: Pesawat Lion Air JT-330, penerbangan dari Jakarta ke Palembang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta setelah enjin kiri terbakar pada petang semalam.
Pesawat yang membawa seramai 169 penumpang dan enam anak kapal berlepas jam 5.14 petang waktu tempatan, terpaksa berpatah balik 32 minit kemudian dan berjaya mendarat dengan selamat.
Masalah enjin dikesan apabila pesawat berada pada ketinggian 3,000 kaki.
Jurucakap Lion Air, Danang Mandala Prihantoro berkata, sebelum berlepas dari pesawat Boeing 737-800NG, pendaftaran PK-LKK disahkan selamat untuk beroperasi melalui semakan pra-penerbangan.
“Ekoran kejadian ini, Lion Air terus mengendalikan penumpang mengikut peraturan yang dikenakan iaitu menghantar mereka menggunakan pesawat lain ke destinasi mereka,” katanya. – TVS