Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jimbun (kini) Joanna (tengah) dan Sharifah Nurhanni Fasihah kini meneruskan pengajian di UKM dengan bantuan pendidikan kewangan disediakan Kerajaan Sarawak

Anak Sarawak kejar impian, kerajaan negeri bantu harungi liku bergelar pelajar rantauan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 27 Okt :Tatkala menyemak permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam secara dalam talian lebih tiga tahun lepas, senyuman terukir pada wajah Jimbun Ali.

Anak kelahiran Sibujaya ini ditawarkan tempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Biologi).

Jimbun bersyukur kerana bukan mudah untuk diterima masuk ke UKM yang merupakan antara ‘menara ilmu’ terbaik di Asia Tenggara namun dia beruntung kerana mendapat peluang keemasan itu.

Begitupun, senyumannya tidak lama kerana memikirkan ‘masalah’ lain pula.

Apa yang dibimbangi Jimbun ialah kos pengajian yang mahal sekaligus terbit rasa ‘bersalah’ kerana akan membebankan ibu bapanya.

Jimbun faham benar yang bapanya seorang petani dengan pendapatan tidak menentu manakala ibunya pula seorang suri rumah juga perlu menanggung adik beradik yang lain.

Ketika menyambung pengajian asasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor, ayahnya juga sudah banyak berkorban wang ringgit.

Namun anak muda ini tidak mudah patah semangat.

Timbul idea untuk memohon Biasiswa Pinjam Kerajaan Negeri Sarawak (BPKNS) di bawah Yayasan Sarawak dan urusannya dipermudahkan.

“Saya menerima BPKNS pada tahun pertama pengajian di UKM. Sekarang sudah berada pada tahun ketiga.

“BPKNS membantu membiayai yuran pengajian dan penginapan di samping menampung kos penerbangan pulang ke Sarawak.

“Ini juga meringankan beban orang tua saya kerana dapat digunakan sebagai wang poket, tambahan pula, sekarang saya menetap di rumah sewa kerana tidak mendapat bilik di kolej kediaman,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Manfaat yang diraih Jimbun itu merupakan salah satu hasil inisiatif yang diperkukuhkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Antara inisiatif dilaksanakan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ialah menambah Dana Biasiswa Pendidikan Yayasan Sarawak untuk membolehkan lebih ramai pelajar negeri ini dibiayai pendidikan pengajian tinggi mereka. Foto Bernama

Sejak 2017, Premier Sarawak itu telah melaksanakan 120 inisiatif Demi Rakyat dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menerusi inisiatif ke-25, Abang Johari menambah Dana Biasiswa Pendidikan Yayasan Sarawak.

Langkah itu dilaksanakan dengan meningkatkan premium balak yang seterusnya menambah ‘tabung’ biasiswa pendidikan supaya lebih ramai pelajar negeri ini dapat dibiayai untuk melanjutkan pelajaran.

Ini dapat meningkatkan jumlah modal insan berkualiti sekaligus membantu untuk mencapai hasrat Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Berkongsi lanjut mengenai biasiswa pinjaman yang diperolehinya itu, Jimbun berkata, dia juga menggunakannya sebagai kos pengangkutan berulang – alik ke kampus.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana membantu rakyat kategori B40 seperti keluarga saya.

“Mungkin kecil di mata pihak lain namun sangat besar bagi saya,”katanya.

Ditanya mengenai perancangannya, Jimbun berkata, dia ingin mencari kerja selepas menamatkan pengajian dan juga mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Seorang lagi pelajar Sarawak yang menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan ialah Joanna Bridget Stanley Stewart.

Gadis berusia 21 tahun ini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera, Pengajian Bahasa Inggeris, juga di UKM.

Joanna berkata, dana yang disediakan telah meringankan beban ibu bapanya.

“Ini kerana saya juga mempunyai adik yang masih bersekolah dan menyambung pelajaran di universiti lain,”katanya.

Ditanya mengenai prestasi pengajiannya setakat ini, Joanna berkongsi satu lagi berita gembira.

“Ketika ini saya layak menikmati pelepasan bayaran sebanyak 75 peratus pinjaman kerana mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas.

“Saya mendapat pinjaman sebanyak RM20 000 dan sekiranya berjaya mengekalkan prestasi, jumlah yang perlu dibayar hanya RM5,000 sahaja,”katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau ini berkata, dia akan fokus terhadap pengajiannya dan seterusnya mengejar cita – cita menjadi pensyarah.

Bagi Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin yang berasal dari Sebuyau pula, biasiswa yang diterimanya daripada Yayasan Sarawak dimanfaatkan sebaik mungkin.

Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Media di UKM ini berkata, dia menggunakan biasiswa itu untuk melangsaikan yuran pengajian dan bayaran kolej kediaman.

“Saya juga dapat membeli peralatan belajar, buku serta perbelanjaan harian sebagai pelajar di perantauan.

“Bukan itu sahaja, aspek kebajikan termasuk tiket penerbangan yang meringankan beban ketika pulang cuti semester pada musim cuti perayaan juga termasuk dalam biasiswa ini,”katanya.

Sharifah Nurhanni Fasihah berkata, sebagai pelajar salah satu hasratnya ialah mahu menamatkan pengajian tanpa bebanan hutang.

Sementara menerusi statistik di laman web Yayasan Sarawak setakat Ogos lepas sebanyak 1,594 pemohonan Biasiswa Pinjaman Pelajaran Pelajaran Dalam Negara diluluskan.

Jumlah permohonan keseluruhan ialah sebanyak 1,647 dengan kadar kelulusan mencecah 97.93 peratus. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan