Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri. Foto BERNAMA

Akaun keldai kian berleluasa di Sarawak

ByTiana Azni

KUCHING, 27 Okt: Seramai 1,221 suspek keldai akaun telah ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak bagi tempoh Januari 2021 hingga September 2022.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata daripada jumlah itu, 914 individu telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Trend jenayah komersil di Sarawak kini menyaksikan akaun keldai semakin berleluasa digunakan oleh penjenayah untuk menerima wang hasil daripada aktiviti penipuan dalam talian dan menerusi media sosial,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata keldai akaun boleh dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima harta curi dengan curang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Individu terbabit juga boleh dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana mengalih atau menyembunyikan harta dengan cara tidak jujur atau tipuan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tuduhan juga boleh dilakukan di bawah Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil Sarawak 1958 kerana mempunyai dalam milikan atau menyampaikan dalam apa-apa yang disyaki secara munasabah sebagai dicuri atau diperolehi secara tidak sah yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM500.

Menurutnya lagi, siasatan polis menunjukkan individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh penjenayah sebenarnya mengetahui bahawa mereka tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat akaun kepada mana-mana pihak.

“Individu atau syarikat dinasihatkan agar segera menutup akaun bank mereka sekiranya tidak lagi mempunyai kawalan ke atas akaun bank agar ia tidak digunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai untuk dituduh di mahkamah,” nasihatnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan