Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura Halimah Yacob di Istana, Orchard Road, Singapura sempena lawatan negara baginda ke republik itu. Foto: Bernama.

Agong harap hubungan Malaysia-Singapura terus berkembang maju

ByBernama

SINGAPURA, 27 Okt: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap hubungan antara Malaysia dan Singapura yang menyeluruh dan simbiotik akan terus berkembang maju dan memberikan manfaat kepada kepada kedua-dua negara dan rakyat.

Seri Paduka Baginda bertitah susulan itu, adalah penting untuk kedua-dua negara bekerjasama di tengah-tengah perubahan landskap geopolitik, geo-ekonomi dan geostrategik sejagat.

“Begitu juga, selaku negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura seharusnya terus bekerjasama antara satu sama lain dan negara anggota ASEAN yang lain, juga dengan rakan pilihan bagi memastikan Asia Tenggara akan menjadi sebuah rantau yang aman, stabil dan makmur,” titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian di bankuet negara berlangsung di The Istana di sini pada Rabu, bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke republik ini.

Tunku Azizah turut berangkat ke bankuet negara, yang juga dihadiri Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami Mohammed Abdullah Alhabshee.

Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Malaysia dan Singapura berkongsi satu hubungan rapat buat sekian lama, berakar umbi dan menyeluruh yang kekuatan hubungan itu terus meningkat.

Al-Sultan Abdullah bertitah ini dapat disaksikan menerusi peningkatan dagangan Malaysia-Singapura kepada S$128 bilion pada 2021 biarpun berhadapan gangguan dan kekangan akibat pandemik COVID-19.

“Beta dimaklumkan bahawa dagangan kedua-kedua negara mungkin mencecah S$150 bilion pada 2022. Hubungan antara rakyat dengan rakyat adalah kukuh. Ramai rakyat Malaysia dan Singapura ada saudara-mara dan sahabat  handai yang tinggal dan belajar di seberang tambak.

Lebih daripada 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura dan menyumbang kepada pembangunan Singapura. Begitu juga hubungan budaya dan warisan kedua-dua negara adalah kuat, titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda berdua tiba di sini pada Selasa untuk lawatan negara yang akan berakhir Jumaat ini.

Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Singapura sejak 57 tahun lepas.

Sementara itu, Halimah dalam ucapannya berkata kerjasama bilateral antara Singapura dan Malaysia semakin mengukuh biarpun berhadapan cabaran tidak pernah berlaku dahulu seperti COVID-19 yang mengakibatkan penutupan tambak yang menghubungkan kedua-dua negara.

“Kita sering bekerjasama rapat dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan pelancongan. Kita masing-masing kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain.

COVID-19 adalah ujian generasi kita. Biarpun berhadapan cabaran tidak pernah dihadapi sebelum ini , kita bekerjasama tanpa mengenal penat untuk memastikan pergerakan barangan, perkhidmatan dan insan yang selamat merentasi sempadan,” kata beliau.

Halimah juga berkata Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong berdiri teguh sebagai tonggak kepada kestabilan dan keyakinan rakyat serta sebagai simbol kepada perpaduan Malaysia.

“… ia seharusnya kita terus mengukuhkan kepercayaan dan persefahaman antara kedua negara serta bekerjasama untuk faedah bersama buat rakyat kita,” kata beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan