SANDAKAN, 26 Okt : Sandakan merekodkan 1,416 kes denggi dengan enam kematian bagi minggu epidemologi ke-42.
Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Doktor Johari Awang Besar berkata daerah ini menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 82 kes bagi tempoh pada sama tahun lalu.
Susulan itu, beliau berkata Operasi Mega Denggi diadakan di beberapa lokasi tumpuan wabak dengan mensasarkan aktiviti semburan kabus dari rumah ke rumah.
“Operasi mega ini dijalankan bermula 19 Oktober hingga 16 November yang mana kita mendapat 12 pasukan bantuan dari Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran termasuk Kunak, Beluran, Tongod, Pitas dan Tambunan.
“Secara keseluruhannya, kita mempunyai hampir 30 pasukan yang menjalankan pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk aedes serta aktiviti semburan kabus pada waktu ditetapkan,” katanya semasa Operasi Mega Denggi di Taman Mesra, Sandakan.
Antara lokasi lain tumpuan operasi itu termasuk Kampung Tinosa Satu dan Dua serta Taman Mawar Fasa Satu.
Menurut beliau, perubahan cuaca serta sikap masyarakat tidak ambil peduli menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan mendadak bilangan kes denggi di Sandakan.
Beliau berkata, ini kerana kakitangan Jabatan Kesihatan masih menemui banyak bekas bertakung sama ada di dalam mahupun luar rumah penduduk yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.
“Taman Mesra mempunyai 1,000 unit rumah dan semasa pemeriksaan dijalankan, pihak kita mengesan kehadiran jentik-jentik di dalam tangki pam tandas rosak yang dibiarkan tanpa bertutup rapat. Oleh itu, kita tahu kenapa kes denggi di taman perumahan ini masih berlarutan,” jelasnya. – TVS