KOTA SAMARAHAN, 26 Okt: Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof menasihatkan pelajar yang menerima tablet PerantiSiswa Keluarga Malaysia agar tidak menjualnya.
Menurutnya, pemberian peranti itu sewajarnya dihargai mahasiswa kerana ia merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu proses pelajar mencapai maklumat diperlukan mereka di alam maya.
Kerajaan memandang serius penyalahgunaan peranti itu dan menegaskan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menjual tablet.
Setiap tablet mempunyai aplikasi yang berfungsi untuk memantau keberadaan dan penggunaan peranti itu sepanjang masa, jelasnya.
“Bukan hendak menakutkan pelajar tetapi peranti itu sebenarnya dipantau rapi sama ada anda berada dalam kampus atau luar kampus.
“Sekiranya anda menjualnya secara automatik pihak yang memantau peranti itu dari jauh akan menyekat ketersambungannya, jadi saya nasihatkan pelajar janganlah jual, “ katanya ketika berucap pada Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.
Pada majlis itu, 1,400 tablet diagihkan kepada pelajar UNIMAS. Sebanyak 6,456 permohonan dari kalangan penuntut UNIMAS telah diperakukan untuk menerima peranti itu dan ia akan diagihkan secara beperingkat sehingga 28 Oktober ini.
Sebelum ini Kementerian Komunikasi dan Multimedia melaporkan 14 kes penjualan semula PerantiSiswa dikesan di seluruh negara dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – TVS