Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Bung Moktar Radin. Foto: Bernama.

Bung Moktar bimbang harga tiket penerbangan makin mahal menjelang mengundi

ByBernama

KOTA KINABALU, 26 Okt: Kementerian Pengangkutan digesa mengawal ketat harga tiket penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata dikhuatiri harga tiket penerbangan yang mahal akan menyukarkan penduduk Sabah dan Sarawak pulang mengundi, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat berpeluang mengundi pada 19 November ini.

“Kadar tambang pergi balik syarikat penerbangan khususnya antara Sabah dan Semenanjung menunjukkan kadar yang semakin tinggi menjelang dua tiga hari sebelum hari mengundi pada 19 Nov. Ini sesuatu yang membimbangkan.

“Situasi itu sesuatu yang merugikan negara terutama kepada golongan yang dijangka paling ramai terjejas iaitu pengundi muda atau Undi18 kerana kadar tambang mahal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah dalam kenyataan semalam, membangkitkan mengenai pelajar Sabah di Semenanjung berdepan halangan untuk pulang mengundi disebabkan harga tiket penerbangan yang mahal.

Semakan di laman web mendapati harga tiket pergi balik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur untuk tarikh 18 dan 19 November adalah pada kadar RM400 hingga RM700 bergantung dengan masa, pakej dan syarikat penerbangan.

Dalam pada itu, Bung Moktar mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar memasukkan pengundi muda sebagai kategori pengundi awal atau undi pos bagi memastikan mereka tidak terlepas menunaikan tanggungjawab demokrasi.

Beliau berkata melalui kaedah kedua-dua kategori itu akan dapat membantu menyelesaikan masalah ketidakmampuan pelajar membeli tiket penerbangan yang mahal untuk pulang mengundi khususnya pelajar Sabah atau Sarawak di Semenanjung dan sebaliknya.

“SPR perlu mencari jalan bagi memudahkan golongan pelajar atau pengundi muda 18 tahun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan antara kaedah terbaik ialah memasukkan mereka sebagai pengundi awal atau pengundi pos,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan