Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fadillah Yusof. Foto: K-Ong Morni.

GPS tidak menggunakan formula ‘calon langsung’ pada PRU-15

ByHafeezzur Muzamir

KOTA SAMARAHAN, 26 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menggunakan formula ‘calon langsung’ (direct candidate) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof ketika ditanya mengenai persoalan adakah GPS akan meletakkan calon langsung, berkata:

“Ia perlu melalui sistem konsensus dalam kalangan empat parti komponen dalam GPS,“ katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.

Calon langsung atau direct candidate ialah formula pernah digunakan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016.

Ketika itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kini dikenali sebagai PDP, merupakan komponen dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Formula itu digunakan selepas berlaku perpecahan dalaman Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kini dikenali sebagai PDP.

Ekoran perpecahan, ahli-ahli dua parti itu menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP) kini Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang mesra Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Bagaimanapun, permohonan dua parti ini untuk memasuki BN Sarawak tidak mendapat persetujuan parti-parti komponen BN Sarawak.

Justeru, Adenan menggunakan formula calon langsung untuk membolehkan beberapa ahli dari dua parti berkenaan bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga mantan Ahli Parlimen Petra Jaya menggesa agar rakyat bijak membuat pilihan dalam PRU-15 bagi memastikan negara mendapat sebuah kerajaan yang stabil untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Tahun depan dijangka keadaan ekonomi dan senario politik dunia agak mencabar dan sebab itulah pilihan raya kali ini kita kena tentukan supaya kita dapat wujudkan kerajaan yang stabil.

“Hanya kerajaan yang stabil dapat memberi tumpuan untuk melaksanakan dasar negara dan bajet pada tahun ini yang menekankan aspek pertumbuhan domestik,“ katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan