SIMUNJAN, 25 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agar wakil-wakil rakyatnya dapat memartabatkan hak dan kepentingan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi Dewan Rakyat.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata rakyat Sarawak jelas dengan keperluan memperjuangkan perkara ini agar dapat mengembalikan hak-hak yang terhakis.
“Apabila kita (GPS) berjaya (bergabung dalam) membentuk sebuah kerajaan yang cemerlang nanti, maka hak yang terhakis kita boleh tuntut,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerjanya ke projek bekalan air di sini, hari ini.
Kata beliau, banyak aspek dalam perjanjian tersebut yang perlu dibangkitkan untuk mengembalikan hak kepada Sarawak.
“Masih ada banyak perkara dalam senarai yang boleh diusulkan ke meja perundingan MA63,” katanya. -TVS