KUCHING, 25 Okt : Sembilan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah di hadapan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.
Mereka terdiri daripada Petrus Igat Mathias daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Michael Mujan Lihan (PBB), Charles Balan Seling (PBB), Fung Kok Shiun (PDP), Tapah Ata (PBB), Buang Bolhassan (PBB), John Nyigor (PBB), Sam Laya (PDP) dan Abang Abdul Aziz Abang Draup (PBB).
Tujuh daripadanya merupakan lantikan semula iaitu Petrus, Michael, Charles, Fung, Tapah, Buang dan John, manakala dua lantikan baharu ialah Sam Laya dan Abang Abdul Aziz.
Sementara itu, Abang Abdul Aziz yang ditemui TVS berkata, beliau bersyukur kerana diberi kepercayaan menjawat jawatan itu. Menurutnya, ia merupakan platform bagi golongan belia untuk bersama-sama kerajaan dalam melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.
“Kerajaan begitu mengambil berat tentang golongan muda dan mereka ingin tahu apa yang golongan muda mahukan. Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lepas, kita lihat beberapa muka baharu dalam golongan belia ditampilkan sebagai calon dan kali ini lantikan setiausaha politik pula membabitkan belia, “ katanya.
Hadir sama pada majlis di Wisma Bapa Malaysia itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman. – TVS