SIMUNJAN, 25 Okt: Tiga projek bekalan air menelan kos RM109.2 juta di bahagian Samarahan akan memberi manfaat kepada para penduduk, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Ia melibatkan kerja-kerja pembinaan saluran paip baharu, pembinaan tangki aras tinggi, pembinaan stesen pam penggalak serta penggantian saluran paip lama untuk mewujudkan sistem grid bekalan air bersepadu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerjanya ke tapak Projek Projek Bekalan Air di Simunjan dan Gedong, hari ini.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata daripada tiga projek ini, satu projek telah siap dan dua lagi dijangka siap pada suku keempat 2023.
Projek yang telah siap ialah menaik taraf bekalan air di Lubok Punggor, Lubuk Buntin dan Tanjung Sap di daerah Gedong bernilai sekitar RM41.9 juta yang memberi manfaat kepada lebih kurang 350 isi rumah.
Dua projek yang masih dalam pembinaan adalah Pakej 3D melibatkan Pembinaan dan Penyelesaian Transmisi Utama Merentasi Batang Jambatan Sadong ke Simunjan, Penggantian, Penempatan Semula dan Sambungan Paip di Sebangan dan Sebuyau bernilai sekitar RM57.9 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak. – TVS