Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir pada Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak baru - baru ini. Foto: Salasiah Safian (TVS)

Pengundi muda Sarawak mahu kestabilan dipertahankan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 25 Okt : Kestabilan yang dinikmati oleh Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka akan memberi kelebihan kepada gabungan itu untuk menarik sokongan belia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, kata Prof Madya Dr Novel Lyndon.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sentimen pengundi muda di Sarawak ialah mereka mahukan kerajaan yang stabil untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, pengundi muda terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu pelajar, pengundi muda yang bekerja dalam sektor gig ekonomi dan pekerja di sektor kerajaan dan swasta.

“Mereka mempunyai pandangan dan keperluan berbeza namun asasnya sama iaitu mahukan kerajaan yang stabil,” katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Novel Lyndon,

Beliau berkata demikian kepada TVS ketika berkongsi pandangan berhubung kecenderungan pengundi muda di Sarawak pada PRU-15 ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru – baru ini mengesahkan daftar pemilih terkini menunjukkan seramai 1 943 074 pengundi di Sarawak akan terlibat memilih 31 calon kerusi Parlimen pada PRU-15 ini.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak, seramai 1,252,014 orang layak mengundi dan pertambahan pengundi adalah disebabkan oleh perlaksanaan Undi 18.

Berhubung golongan belia yang kali pertama mengundi, Dr Novel berpandangan, kumpulan itu akan membawa perubahan kepada landskap politik Sarawak.

“Mereka mahu melihat pemimpin yang dipilih mempunyai integriti tinggi, muda, segar dan mempunyai agenda untuk membangunkan negeri.

“Di Sarawak saya rasa pengundi muda mahukan kestabilan negeri terus kekal dan dengan kemenangan besar, agenda untuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu ditunaikan akan menjadi perkara utama,”katanya.

Sementara itu, menurut Dr Novel, berdasarkan pemerhatiannya, sejak 2018 Kerajaan GPS di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melaksanakan banyak program pembangunan yang memanfaatkan pelbagai golongan rakyat termasuklah belia.

Beliau turut tertarik dengan dasar pembangunan menyeluruh yang dilaksanakan apabila tumpuan juga diberikan kepada kawasan luar bandar.

“Kestabilan politik yang wujud di Sarawak telah membolehkan pelbagai pembangunan yang dekat di hati rakyat dan mendengar keluh kesah mereka dilaksanakan oleh kerajaan.

“Ini bertujuan untuk membasmi kemiskinan seperti pembinaan jalan pertanian yang telah memberi ruang kepada petani untuk mengembangkan projek mereka, memudahkan pemasaran dan sekaligus menambah pendapatan,”katanya.

Menurutnya, ini menunjukkan kepimpinan GPS mementingkan agenda rakyat dan negeri dan oleh itu tidak mustahil mereka akan menikmati sokongan besar pada PRU-15 ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan