KOTA KINABALU, 24 Okt : Pembangunan industri kreatif di Sabah perlu diberi perhatian serius seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak.
Presiden Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA) Chester Pang berkata, pihaknya berharap agar manifesto parti politik di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini akan turut memberikan perhatian kepada perkembangan industri filem Sabah.
“Industri ini menyediakan peluang pekerjaan yang seterusnya merangsang ekonomi setempat dan membantu mempromosikan Sabah melalui filem.
“Industri semakin rancak, tiga daripada lapan buah filem yang dihasilkan oleh penerbit tempatan telah ditayangkan di seluruh negara.
“Lima lagi akan ditayangkan pada penghujung atau awal tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bulanan KKFVA di sini.
Chester yang juga merupakan penerbit filem Craze Below The Wind berkata, industri sebelum ini telah mencadangkan penubuhan atau meletakkan ahlinya di jabatan kerajaan negeri.
“Ini untuk mewujudkan pusat sehenti sekaligus membolehkan penggiat- penggiat seni mendapatkan maklumat mengenai permohonan permit bagi melancarkan penggambaran di Sabah.
“Selain itu, agensi kerajaan tersebut juga boleh menyelaraskan dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan terutamanya melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) untuk disalurkan kepada penerbit-penerbit tempatan Sabah.
“Sebagai contoh TVS yang terletak di bawah Sarawak Media Group (SMG) yang merupakan anak syarikat Kerajaan (GLC).
“Sarawak berjaya memacu perkembangan industri kreatif sehingga berjaya menarik penerbitan filem Edge of The World dari Hollywood yang bernilai RM48 juta,” katanya.
Chester menegaskan bahawa ramai tenaga mahir Sarawak telah kembali ke negeri itu untuk merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak termasuk penerbit dan pengarah filem dari Sabah dan Semenanjung Malaysia. -TVS