KUCHING, 24 Okt : Parti Rakyat Sarawak (PRS) yakin mampu untuk merampas semula kerusi parlimen yang dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Naib Presidennya, Datuk John Sikie Tayai berkata, mereka akan memberi tentangan sengit untuk menawan Julau, Lubok Antu dan Selangau serta ‘mendapatkan semula’ Sri Aman.
“Sudah tentu kita akan cuba untuk menang di kesemua kerusi yang kalah pada PRU lepas.
“Kita akan cuba yang terbaik,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Perasmian Bengkel Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak di sini hari ini.
Pada PRU-14, PRS bertanding di enam kerusi dan menang di Kanowit, Hulu Rajang dan Sri Aman.
Bagaimanapun, pada 2018, Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat mengumumkan keluar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Sementara itu, John Sikie berkata, beliau berharap pengundi di Sarawak akan memberi peluang kepada GPS untuk mencatatkan kejayaan yang lebih besar pada PRU-15 ini.
Kata beliau, ini kerana GPS membuktikan mereka merupakan parti yang berjuang membela rakyat Sarawak malah mencatatkan pencapaian memberangsangkan.
“GPS merupakan sebuah kerajaan yang baik.
“Tidak kira jika calon daripada PRS, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atau Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang penting ialah GPS,”katanya. -TVS