KUCHING, 24 Okt : Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak komited untuk melonjakkan pembangunan bakatnya ke peringkat global malah telah menyalurkan peruntukan lebih RM1 bilion bagi tujuan itu.
Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, hasrat itu juga dapat direalisasikan melalui perkongsian pintar membabitkan kementeriannya dengan Yayasan Sarawak.
Menerusinya beliau berkata, pelbagai kerjasama dan sokongan kewangan telah disalurkan kepada sektor pendidikan bagi melaksanakan pelbagai aktivti.
“Sokongan kewangan yang kita berikan merangkumi bantuan sumber pembelajaran, skim biasiswa tempatan, skim galakan untuk pelajar, skim bantuan pengangkutan, pelbagai anugerah, bantuan pakaian sekolah, pembangunan sukan, bantuan tuisyen, sekolah HIPERS, bantuan pembangunan sekolah bernilai RM1 bilion serta inisiatif untuk meningkatkan capaian internet,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak di Kota Samarahan, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Roland Sagah turut menyampaikan anugerah kepada 20 penerima dalam enam ketegori yang berbeza dengan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Khas Pengarah diberikan kepada pensyarah akademik, Muhaimi Suhaili.
Sementara itu beliau berkata, bantuan itu merupakan usaha Kerajaan Sarawak meningkatkan kebolehan murid dalam aspek pembelajaran dan kokurikulum yang selari dengan dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Oleh itu saya berharap agar warga pendidik dapat mengadaptasi dan merebut peluang termasuk mengaplikasikan pelbagai pendekatan terkini berasaskan teknologi agar berupaya menjana modal insan pada era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) ini,”katanya. -TVS