KUCHING, 24 Okt : Peniaga roti canai, Hisamudin Zawawi bukan sahaja handal menebar roti malah ‘jaguh’ apabila mikrofon dihulurkan kepadanya untuk melontar suara.
Berusia 48 tahun dan merupakan peserta paling ‘senior’ dalam program realiti Getaran Jiwa terbitan TVS, dia yang menggunakan nama pentas Samdean merupakan antara dua yang mara ke pusingan separuh akhir pertandingan itu.
Dihubungi TVS, Samdean yang mempersembahkan lagu Alunan Biola daripada filem Antara Dua Darjat itu terkejut dengan keputusan berkenaan.
Katanya bukan mudah untuk memukau barisan juri yang diketuai oleh Dato Nash pada konsert minggu pertama.
“Pada mulanya saya hanya mahu menampilkan persembahan terbaik untuk keluarga dan anak-anak namun tidak sangka rezeki saya,”katanya.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia juga mengguna strategi berbeza ketika menyampaikan lagu malar segar dendangan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee itu.
“Saya mengekalkan irama keroncong lagu itu serta menyampaikan dengan cara yang tersendiri.
“Saya sangat puas hati dengan persembahan yang ditampilkan malah berterima kasih terhadap komen dan kritikan yang diberikan juri, saya ambil sebagai ilmu,”katanya.
Sementara itu berkongsi tentang perniagaannya, Samdean memberitahu, sudah lebih 24 tahun dia meniaga makanan yang digemari rakyat Malaysia itu di sebuah kedai di Pending.
“Sebenarnya roti canai sarang burung yang saya jual pernah viral dulu,”katanya.
Berkongsi tentang minatnya terhadap muzik pula, Samdean memberitahu, dia aktif dalam Kelab Peminat P.Ramlee dan menyertai pelbagai aktiviti anjuran kelab berkenaan.
“Antaranya saya pernah terlibat dengan persembahan kebudayaan Kembara Seni Gema Suara bersama Kelab P.Ramlee Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Perlis, Pahang, Sabah, Indonesia dan Singapura,”katanya.
Sementara itu, Samdean turut mengucapkan terima kasih kepada TVS kerana menerbitkan program Getaran Jiwa.
“Program ini dapat mencungkil bakat dan mengangkat karya P.Ramlee .
“Getaran Jiwa turut memberi peluang kepada penyanyi baharu membawa lagu yang sudah menjadi khazanah negara ini dengan cara tersendiri,”katanya. -TVS