KUALA LUMPUR, 23 Okt: Qariah Malaysia Sofizah Mousin memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah Al-Quran Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-62 (MTHQA62) di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Sofizah yang merupakan seorang daripada lapan peserta tilawah bagi sesi malam tadi, membaca ayat dari Surah Yunus.
Turut memperdengarkan bacaan adalah qari Mohamed Sameer Mohamed Magahed dari Bahrain, Muhammad Sadid Abdul Latif (Singapura), Sabah Khalaf Ali (Iraq), Edje Amar Ould Sid Ahmed (Mauritania) dan Syed Sajjad Hussain (Pakistan), manakala qariah terdiri daripada Fatema Jannatul Bushra mewakili Bangladesh dan Maryam Hashemi dari Afghanistan.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi perkongsian di Facebook, Keluarga Malaysia yang ingin menyaksikan MTHQA62 secara fizikal, dijemput hadir ke Dewan Plenary KLCC bermula 8.45 malam dan tempat adalah terhad.
Menurut kenyataan itu, orang ramai juga boleh menonton MTHQA62 yang bermula pada Rabu hingga hari ini, menerusi RTM TV1 dan media sosial Jakim. – TVS