LUNDU, 23 Okt : Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyasarkan untuk menang di kesemua tujuh kerusi parlimen yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Ini.
Presidennya, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, kemenangan itu kelak akan membolehkan SUPP membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencapai misi untuk menang kesemua 31 kerusi di Sarawak.
Kata beliau, kemenangan besar GPS akan membolehkan mereka berada dalam posisi kukuh uuntuk melakukan rundingan dengan mana-mana gabungan parti di Semenanjung Malaysia untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
“Sekali dalam seumur hidup kita mempunyai kedudukan kukuh untuk berunding dan kita tidak boleh terlepas peluang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pertauliahan Ahli Jawatakuasa SUPP Cawangan Opar dan Tanjung Datu di sini, hari ini.
Ke arah itu ujar Dr. Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak, beliau menyeru semua pihak termasuk bakal calon supaya meningkatkan usaha mendekati rakyat di kawasan masing-masing.
“Saya tidak dicalonkan namun saya tetap berkerja keras untuk kebaikan rakyat, jadi mereka (bakal calon) harus berkerja lebih keras daripada saya,” katanya.
SUPP akan meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang, dan Miri.
Pada PRU-14, parti itu hanya memenangi satu kerusi sahaja iaitu Parlimen Serian menerusi Timbalan Presidennya, Dato Sri Richard Riot Jaem.-TVS