ASAJAYA, 23 Okt : Tiada subsidi akan disalurkan kepada rakyat Sarawak yang berada di luar negeri untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh kerajaan negeri baru-baru ini.
“Kerajaan negeri telah membuat keputusan kita tidak akan dapat memberi subsidi namun kita menggalakkan mereka untuk pulang.
“Sekiranya mereka berada di luar negara, boleh mendaftar sebagai pengundi pos,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan pelepasan peserta program Dragon Challenge Sarawak Adventure Race di Kampung Beliong, Asajaya pada Ahad.
Sementara itu, Abdul Karim turut mengakui berlaku peningkatan harga tambang penerbangan bagi tempoh hari mengundi.
Katanya, perkara itu telah diambil maklum oleh Kementerian Pengangkutan selepas mendapat aduan.
“Saya percaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menawarkan kadar tambang pada tahap minimum selain meningkatkan jumlah penerbangan untuk memudahkan pelajar dan rakyat Sarawak di luar dapat balik mengundi,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November depan sebagai hari mengundi bagi PRU-15. -TVS