PADAWAN, 23 Okt : Sarawak menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 145,000 peluang pekerjaan menjelang 2030, kata Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri berkata, peluang pekerjaan itu terdiri daripada sektor pemangkin ekonomi.
“Sebanyak 50,000 daripadanya melibatkan bidang perniagaan.
“Strategi transformasi modal insan harus fokus kepada penyediaan hala tuju sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi.
“Perubahan pasaran kerja masa kini mengharuskan tenaga kerja kita memiliki kemahiran yang lengkap dan pelbagai serta memenuhi cita rasa industri,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sarawak Skill di Kampung Sira, Padawan di sini hari ini.
Sementara itu selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak sedang memacu pembangunan infrastruktur untuk meningkatkan taraf hidup dan mengembangkan ekonomi bagi menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan.
Menurutnya, ini termasuklah melatih rakyat untuk menjadi lebih mahir dan meningkatkan taraf pendapatan mereka.
“Bagi menangani jurang dalam ekosistem ekonomi, kita akan mengubah struktur ekonomi iaitu menerusi pemodenan dan meningkatkan efisiensi pendapatan isi rumah serta melindungi alam sekitar,”katanya.
Katanya, bagi membolehkan Sarawak muncul negeri maju dan berpendapatan tinggi, kerajaan menyasarkan peningkatan pendapatan purata bulanan kepada RM15,047 menjelang 2030. -TVS