MUKAH, 23 Okt : Dua lelaki tempatan ditahan bersama sebuah lori kargo yang membawa 15,000 paket minyak masak di Jalan Pan Borneo Selangau-Sibu, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM157 500.
Katanya, penahanan itu dilakukan menerusi sekatan jalan raya yang dilakukan pihaknya di situ.
“Hasil pemeriksaan mendapati minyak masak paket itu merupakan barang kawalan dan dibawa melebihi had yang dibenarkan.
“Mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya polis telah merampas lori kargo berkenaan manakala pemandu yang berumur 42 tahun bersama kelindan berusia 27 tahun turut ditahan.
“Kesemua minyak masak dan lori kargo yang dirampas telah diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Mukah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya lagi. -TVS