Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada masa ini hanya beberapa syarikat di Sarawak yang mengeksport produk seperti produk kayu, bahan binaan dan perabot ke Kazakhstan dalam skala yang kecil. Foto TVS.

Parti-parti komponen GPS diseru mantapkan kerjasama – Awang Tengah

LIMBANG, 23 Okt : Semua parti komponen di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) digesa untuk terus mengukuhkan kerjasama bagi memastikan kemenangan bersih di kesemua 31 kerusi parlimen di Sarawak.
 
Timbalan Pengerusinya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, empat parti tempatan yang membentuk GPS perlu ‘menang besar’ bagi memastikan suara Sarawak akan lebih kuat di parlimen.
 
“Kemenangan besar juga amat penting agar hak dan kepentingan rakyat di negeri ini akan terus diperjuangkan sekali gus menjamin kestabilan dan pembangunan berterusan.
 
“Dalam kita berdepan dengan pilihan raya ini, kita mahu kerjasama semua pihak dan ingatlah yang kita berdiri di atas platform yang sama iaitu GPS,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang dan projek Anjung Usahawan Kampung Pahlawan di sini hari ini.
 
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
 
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, selain ‘merampas’ semula 13 kerusi parlimen yang tidak dimenangi mereka pada PRU-14, beliau juga mahu kemenangan di Limbang dan Lawas dipertahankan dengan cemerlang.
 
GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum ini memiliki 19 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat namun ‘hilang’ seorang selepas Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat keluar parti pada 2019.
 
Sementara itu, Awang Tengah berkata, PRU-15 ini turut memberikan cabaran baharu apabila buat kali pertama pengundi muda yang berusia 18 tahun ke atas akan memilih wakil rakyat mereka.
 
“Kita tahu ramai juga pengundi-pengundi baharu serta mereka yang akan membuang undi buat kali pertama.
 
”Oleh itu kita minta mereka (pengundi baharu) memberikan sokongan (kepada GPS) supaya kepimpinan sedia ada dapat dikekalkan dan seterusnya membolehkan perlaksanaan projek-projek untuk memacu ekonomi yang memanfaatkan rakyat,” katanya.
 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan