KUCHING, 23 Okt : Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri dianugerahkan Ikon Pelancongan Wanita Inspirasi dalam Pelancongan.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Malaysia Tourism Council (MTC) Gold Award di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
MTC Gold Award bertujuan meraikan dan memberi penghormatan kepada pencapaian terbaik industri pelancongan dalam memberikan perkhidmatan berkualiti dan memacu pertumbuhan berterusan.
Untuk rekod, penganjuran MTC Gold Award kali ini merupakan julung kalinya diadakan di Sarawak.
Selain itu, kira-kira 20 individu dan pemain industri pelancongan dari Sarawak turut menerima anugerah pada majlis yang sama.
Antaranya, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menerima anugerah Ikon Pelancongan Terbaik kategori Pelancongan Inovatif.
Manakala Kumpulan At Adau dan Muzium Budaya Borneo masing-masing menerima Anugerah Emas Penghibur Etnik dan Kebudayaan Tahunan dan Anugerah Emas Muzium Tahunan.
Lebih menarik, Sarawak turut dinobatkan sebagai lokasi pelancongan pilihan di Malaysia selepas menerima Anugerah Emas Destinasi Tahunan.
Anugerah itu diserahkan kepada Lembaga Pelancongan Sarawak (STB). -TVS